Sekolah terbakar: Anwar arah tindakan segera, utamakan keselamatan pelajar

14 Apr 2026, 7:29 AM
Sekolah terbakar: Anwar arah tindakan segera, utamakan keselamatan pelajar
Sekolah terbakar: Anwar arah tindakan segera, utamakan keselamatan pelajar

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak terlibat untuk menyegerakan tindakan tuntas susulan insiden kebakaran di Sekolah Menengah Ugama (SMU) (A) Darul Ulum Muhammadiah di Bachok, Kelantan kelmarin.

Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata arahan itu dikeluarkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan agensi-agensi berkaitan.

Perdana Menteri berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan pelajar serta kelancaran pembelajaran yang terjejas akibat kejadian itu.

“Kerajaan MADANI akan menyegerakan bantuan yang diperlukan serta bekerjasama dengan semua pihak bagi mempercepatkan kerja pemulihan dan memastikan sekolah ini kembali berfungsi seperti sediakala.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini yakni soal keselamatan, keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.

Tiga blok bangunan sekolah yang ditubuhkan pada 1990 merangkumi blok akademik, bilik penyelia dan asrama pelajar lelaki musnah dalam kebakaran itu, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM bersetuju memperuntukkan RM100,000 bagi kerja pembersihan dan pembaikan asas termasuk pendawaian elektrik serta penyambungan bekalan air di sekolah berkenaan.

-- BERNAMA

TAG: Anwar Ibrahim, kebakaran, tindakan, sekolah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.