SHAH ALAM, 13 APRIL: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) mengetuai 10 syarikat pemula niaga Malaysia ke Taipei dan Kaohsiung, Taiwan, bagi menyertai Ekspo dan Sidang Kemuncak Bandar Pintar (SCSE) 2026, sekali gus memperluas pendedahan antarabangsa serta jaringan kerjasama industri.
Sidec dalam kenyataan memaklumkan penyertaan itu mencerminkan usaha berterusan agensi berkenaan dalam memperkukuh kedudukan syarikat pemula niaga tempatan dalam ekosistem bandar pintar global.
Delegasi tersebut menampilkan syarikat inovatif termasuk Citysage Sdn Bhd, Dataverse Sdn Bhd, DespaQ, HiTerra AI, IOMINSIGHT Sdn Bhd, New Energy Centre Malaysia Sdn Bhd, PAIX Tech, Rymba, VEE Berhad dan Xtractify Sdn Bhd.
Sepanjang program di Taipei dari 17 hingga 20 Mac, delegasi menyertai pameran, sesi pembentangan idea serta lawatan reruai khas yang memberi pendedahan terhadap trend global dan teknologi baharu, sekali gus membantu syarikat memperhalusi hala tuju mereka dari perspektif antarabangsa.
Selain itu, SCSE 2026 turut menjadi platform pertukaran idea apabila delegasi berhubung dengan wakil dari 53 negara bagi membina rangkaian serta meneroka peluang kerjasama strategik.
“Persekitaran yang diwujudkan ini memperkukuh kepentingan penglibatan rentas sempadan dalam mempercepatkan inovasi dan meningkatkan skala penyelesaian melangkaui pasaran tempatan,” menurut Sidec.
Agensi itu turut menekankan sesi libat urus bersama pegawai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Taiwan, Dr GJ Lee, yang mencerminkan keselarasan semakin kukuh antara ekosistem serta membuka ruang kerjasama masa depan.
“Ia menekankan realiti utama: inovasi tidak berkembang secara bersendirian, sebaliknya melalui perkongsian yang dibina atas cita-cita bersama dan pertumbuhan mampan,” menurut kenyataan itu.
Delegasi kemudian meneruskan misi ke Kaohsiung dari 20 hingga 22 Mac, termasuk perbincangan bersama Timbalan Datuk Bandar Kaohsiung, Lin Chin-Rong, bagi memperkukuh visi bersama dalam pembangunan bandar pintar.
Lawatan itu turut melibatkan sesi libat urus dengan Persatuan Komputer Taipei (TCA), sekali gus menekankan kepentingan kerjasama industri dalam memacu inovasi serta memperkukuh hubungan dua hala.
“Lawatan kami ke Tron Energy Technology Corporation juga memberikan gambaran yang menarik berhubung pencapaian terkini dalam mobiliti mampan.
“Daripada pembangunan pek bateri tersuai hinggalah kepada inovasi dalam kenderaan elektrik dan autonomi, pengalaman itu menekankan bagaimana pembuatan termaju memacu peralihan ke arah tenaga bersih dan sistem pengangkutan pintar,” menurut kenyataan itu.
Merumuskan penyertaan berkenaan, Sidec menyifatkan misi tersebut sebagai lebih daripada sekadar siri libat urus, sebaliknya satu pengalaman yang memperluas perspektif terhadap peluang global.
“Melalui inisiatif seperti ini, Sidec terus meletakkan syarikat pemula niaga Malaysia di pentas global, membuka jalan kepada pembangunan bandar yang lebih pintar, ekosistem yang lebih kukuh dan masa depan yang dibentuk melalui kerjasama dan inovasi,” tambah agensi itu.








