KUALA LUMPUR, 15 OKT: Semua negeri di Malaysia perlu memainkan peranan dalam pembangunan industri semikonduktor negara dan tanggungjawab itu tidak seharusnya terhad kepada satu atau dua negeri sahaja.
Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), Loo Chuan Boon berkata pembangunan industri semikonduktor perlu dijadikan sebahagian daripada agenda nasional dengan setiap negeri menyumbang kekuatan masing-masing.

“Tiada satu negeri pun mampu membangunkan industri semikonduktor secara bersendirian. Pulau Pinang mempunyai pengalaman luas dalam sektor pembuatan, manakala Selangor menyumbang kepakaran reka bentuk, bakat dan modal.
“Kita memerlukan lebih banyak ekosistem, sama ada dalam sektor pembuatan atau pemain industri utama lain. Syarikat perlu ditempatkan di negeri yang mempunyai kekuatan tersendiri dari segi tanah, tenaga dan rantaian bekalan.
“Dengan kerjasama ini, kita dapat membentuk satu ekosistem yang dibiayai sebagai sebuah negara, dan itulah cara dunia sepatutnya melihat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Daripada Pelaburan kepada Pelaksanaan: Membina Bakat dan Model Operasi bagi Memacu Pertumbuhan Industri Semikonduktor Malaysia pada Sidang Kemuncak Selangor Techsphere di sini, hari ini.
Pada 10 Oktober lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM50 juta kepada Dana Pelaburan Strategik Nasional, menyertai Khazanah Nasional Berhad dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam inisiatif bernilai RM150 juta bagi mempercepat pertumbuhan syarikat semikonduktor dan teknologi termaju tempatan.
Dalam perkembangan sama, Loo berkata SIDEC berusaha membawa pulang bakat tempatan yang bekerja di luar negara untuk menyumbang kepada pembangunan industri semikonduktor negara.
“Kami turut berbincang dengan ramai jurutera yang mahu pulang ke Malaysia. Perancangan seterusnya adalah mendekati lebih ramai tenaga mahir, termasuk jurutera kanan yang kini bekerja di Taiwan atau Eropah.
“Kami berharap mereka dapat pulang kerana mereka melihat peluang dan potensi yang ditawarkan Malaysia,” katanya.
Beliau turut berkongsi kejayaan syarikat semikonduktor berpangkalan di Perancis, Weeroc, yang diasaskan bersama oleh rakyat Malaysia, Dr Salleh Ahmad, selepas hampir 19 tahun bekerja di luar negara.
Menurutnya, Dr Salleh yang melanjutkan pengajian sehingga memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) di Perancis sebelum ini tidak melihat peluang yang sesuai untuk kembali ke Malaysia.
Bagaimanapun, menerusi program KL20, beliau mendapat maklumat mengenai inisiatif Malaysia IC Park sebelum mengambil keputusan pulang ke tanah air susulan perbincangan di Paris pada 2025.
“Ketika ini, syarikat beliau menggaji lebih 18 jurutera dan ramai daripada mereka merupakan graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Ini perkembangan yang amat menggalakkan. Beliau sering berkata bahawa tanpa inisiatif ini, mungkin beliau tidak akan pulang dan akan terus bekerja di luar negara,” katanya.






