SHAH ALAM, 13 APRIL: Syarikat bas ekspres Sri Maju Group bertindak menamatkan serta-merta perkhidmatan seorang pemandunya susulan video tular memaparkan lelaki itu memandu sambil seorang wanita duduk di atas ribanya.
Syarikat itu mengesahkan individu berkenaan adalah kakitangannya dan kejadian berlaku ketika bas dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin, semalam.
Sri Maju Group menyifatkan tindakan tersebut sebagai pelanggaran serius terhadap tatacara operasi piawai (SOP) serta etika profesional, selain membahayakan keselamatan penumpang.
“Keselamatan dan keselesaan penumpang adalah keutamaan kami. Tingkah laku yang dipaparkan dalam video tersebut merupakan satu pelanggaran serius terhadap SOP syarikat,” menurut kenyataan itu.
Susulan insiden itu, syarikat telah membuat laporan polis, menamatkan perkhidmatan pemandu terbabit serta memaklumkan perkara berkenaan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk siasatan lanjut.
Syarikat turut memohon maaf kepada penumpang dan orang awam, selain menegaskan komitmen untuk memperketat pemantauan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam semua bas.
Sri Maju Group menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan penumpang.








