Selangor terus perkasa bakat qari, qariah di pentas Tilawah dan Hafazan Kebangsaan

13 Apr 2026, 5:30 AM
Selangor terus perkasa bakat qari, qariah di pentas Tilawah dan Hafazan Kebangsaan

SHAH ALAM, 13 APRIL: Selangor terus memperkukuh usaha melahirkan qari dan qariah berkaliber apabila menghantar wakil ke Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan di Terengganu, yang berlangsung hari ini hingga 18 April.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberitahu kontinjen negeri berlepas lebih awal dan selamat tiba pada 10 April bagi menjalani persiapan rapi sebelum saingan bermula di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Terengganu.

“Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan Selangor dalam memartabatkan al-Quran serta melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing di peringkat kebangsaan,” menurut kenyataan jabatan itu dalam hantaran di Facebook.

Kontinjen Selangor selamat tiba di Terengganu pada 10 April bagi menjalani persiapan rapi sebelum saingan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan bermula di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Terengganu. Foto Facebook Jabatan Agama Islam Selangor - Rasmi

Bagi kategori Tilawah, Selangor diwakili Muhammad Isyraq Shahruddin (lelaki) dan Nor Ruzana Natiah Jaafar (perempuan).

Kategori Hafazan Juzuk 1 hingga 20 pula disertai Hafiy Idham Hasrul Adzrin dan Nur Izzati Norazmi, manakala Hafazan Juzuk 1 hingga 30 diwakili Ahmad Faris Iqbal Mohd Roslan serta Humairourrohmah Mastor.

Menurut JAIS, semua peserta telah melalui persiapan menyeluruh merangkumi aspek bacaan, hafazan dan penghayatan bagi memastikan persembahan terbaik di pentas kebangsaan.

Dalam pada itu, JAIS menyeru semua peserta agar mengekalkan disiplin, semangat juang tinggi serta bertawakal dalam usaha mencapai kejayaan, sekali gus mengharumkan nama Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.