SHAH ALAM, 24 JAN: Wakil Selangor yang dinobatkan sebagai Johan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada April depan, bakal menerima elaun khas selama lapan bulan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata johan qari dan qariah tilawah masing-masing menerima elaun bulanan RM800, manakala johan hafazan lelaki dan wanita menerima RM300 bagi tahap satu, RM400 (tahap dua) dan RM500 (tahap tiga).
Jelas beliau, insentif bulanan itu bertujuan mengangkat martabat ahli al-Quran di samping mewujudkan ekosistem sokongan yang lebih stabil.
“Ahli Lembaga Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) telah memutuskan bahawa mana-mana wakil Selangor yang meraih gelaran johan qari, qariah atau hafazan bagi ketiga-tiga tahap dipertandingkan layak menerima elaun insentif khas bulanan.
“Kesemua peruntukan disediakan khas oleh ALAS dan elaun akan dibayar bermula Mei hingga Disember,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, malam tadi.
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Terdahulu, Muhammad Isyraq Shahruddin, 25, dan Nor Ruzana Natiah Jaafar, 43, masing-masing dinobatkan sebagai johan qari dan qariah tilawah al-Quran. Muhammad Isyraq turut menerima Anugerah Peserta Terbaik.
Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM25,000 beserta sijil dan trofi kemenangan.
Manakala, johan hafazan lelaki tahap satu dimenangi Muhammad Amnan Muhammad Sani, Hafiy Idham Hasrul Adzrin (tahap dua) dan Ahmad Faris Iqbal Mohd Roslan (tahap tiga).
Johan hafazan wanita tahap satu dimenangi Puteri Nur Khairunnisa Megat Aminul Rahim, Nur Izzati Norazmin(tahap dua) dan Humairourrohmah Mastor (tahap tiga).
Sementara itu, Muhammad Isyraq berkata beliau membuat persiapan selama setahun bagi memperkemas bacaan ayat suci al-Quran dengan bimbingan beberapa orang guru.
“Saya mencari beberapa guru untuk mempelajari taranum. Selain itu, setiap malam saya meluangkan masa membaca al-Quran.
“Alhamdulillah, saya tidak menyangka dinobatkan sebagai johan tilawah al-Quran buat kali kedua. Seterusnya, saya akan terus berlatih dan memberikan komitmen sepenuhnya bagi menghadapi majlis tilawah peringkat kebangsaan,” katanya yang turut merangkul gelaran johan pada 2024.
Bagi Nor Ruzana Natiah Jaafar, pembelajaran dan bacaan al-Quran merupakan rutin hariannya dan bukan dilakukan secara bermusim atau semata-mata untuk pertandingan.
“Alhamdulillah, saya dinobatkan sebagai johan tilawah bagi kategori qariah buat kali ketujuh tahun ini. Namun, di peringkat kebangsaan setakat ini saya hanya memperoleh tempat kedua atau ketiga.
“Selain berlatih sendiri, ALAS banyak membantu dengan menyediakan platform latihan dan kelas bacaan al-Quran setiap minggu,” katanya yang mencatatkan markah sebanyak 90.25 peratus.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memperkemas dan memperluas pelaksanaan ALAS ke setiap daerah bagi memperkukuh kefahaman serta penghayatan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut bertujuan memastikan pendidikan al-Quran dilaksanakan secara lebih tersusun dan menyeluruh, tanpa tertumpu kepada lokasi atau peringkat tertentu.
Menurutnya, al-Quran bukan sekadar dibaca, sebaliknya perlu difahami, dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian.



