Guru rempuh pelajar di depan surau sekolah direman dua hari

13 Apr 2026, 2:53 AM
Guru rempuh pelajar di depan surau sekolah direman dua hari

SHAH ALAM, 13 APRIL: Guru yang merempuh dua pelajar di hadapan surau sekolah sehingga menyebabkan seorang pelajar perempuan tingkatan satu maut semalam, direman dua hari.

Perintah reman terhadap guru wanita berusia 57 tahun bermula hari ini sehingga esok dikeluarkan Majistret Mahkamah Kota Bharu, Wan Muhammad Izzat Wan Abdullah, lapor Berita Harian.

Penahanan reman itu dilakukan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam, seorang pelajar perempuan tingkatan satu maut, manakala seorang lagi parah selepas dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu guru wanita di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri dilaporkan, berkata kejadian jam 1.50 tengah hari itu membabitkan seorang pemandu kereta dan mangsa adalah dua pelajar perempuan.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu wanita dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan lalu terbabas sebelum melanggar dua pelajar perempuan berkenaan.

Akibat kejadian itu, seorang mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi parah dan menerima rawatan di hospital.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.