SHAH ALAM, 28 MAC: Seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun sembilan bulan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa penderaan dalam kejadian di Taiping, Perak Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Abdul Malek Ismail berkata berkata pihaknya menerima laporan berhubung kematian mangsa daripada pegawai perubatan Hospital Taiping, dengan beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badannya.
Beliau berkata kanak-kanak itu dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Zon Merah pada 12.43 tengah hari.
“Doktor yang bertugas telah memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama 30 minit, namun mangsa tidak menunjukkan pemulihan peredaran spontan (ROSC) sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.12 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badan mangsa, manakala keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan leher disebabkan hentakan objek tumpul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Malek berkata susulan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
“Empat individu terdiri dua lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 53 tahun, yang juga ahli keluarga mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 27 Mac bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Kes ini berjaya diselesaikan dengan penahanan semua suspek terbabit,” katanya.








