MOSCOW, 13 APRIL: Harga minyak global melonjak lapan peratus selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan sekatan di Selat Hormuz, dengan minyak mentah Brent melepasi paras US$102 setong, menurut data dagangan, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Setakat 22:01 GMT Ahad, niaga hadapan minyak mentah Brent bagi Jun meningkat 7.76 peratus berbanding penutupan sebelumnya kepada US$102.59 setong, manakala niaga hadapan WTI bagi Mei naik 8.2 peratus kepada US$104.51.
Pada Sabtu, Iran dan AS memulakan rundingan di Islamabad selepas Trump mengumumkan persetujuan dengan Tehran mengenai gencatan senjata selama dua minggu.
Pada pagi Ahad, ketua delegasi AS, Naib Presiden J.D. Vance mengumumkan bahawa Iran dan AS gagal mencapai persetujuan selepas rundingan, justeru delegasi AS pulang tanpa sebarang perjanjian.
Pada Ahad, Trump mengumumkan bahawa AS akan memulakan sekatan ke atas semua kapal yang cuba masuk dan keluar dari Selat Hormuz.
Beliau juga mengarahkan Tentera Laut AS menjejaki dan memintas semua kapal yang membayar kepada Iran untuk melalui selat itu.
Markas Pusat AS berikrar untuk memulakan sekatan terhadap "semua trafik maritim yang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran" pada 14:00 GMT, 13 April.








