SHAH ALAM, 12 APRIL: Jemaah haji tahun ini dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan yang ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH) susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata langkah itu penting bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara.
Menurut beliau, pihaknya bersama TH akan terus memantau perkembangan semasa dan bekerjasama rapat dengan kerajaan Arab Saudi dalam menguruskan perjalanan ibadah haji.
“Saya berharap jemaah haji tahun ini akan menggunakan peluang dan rezeki menjadi tetamu Allah ini sebaik-baiknya. Perbanyakkan ibadah dan terus mendoakan kesejahteraan negara kita.

“Jemaah haji Malaysia juga dikenali berakhlak baik dan berdisiplin. Reputasi ini perlu terus dipelihara kerana selain melaksanakan ibadah, turut membawa nama baik negara sebagai duta kecil Malaysia,” katanya.
Beliau berucap ketika Kursus Perdana Haji Musim 1447 Hijrah berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang dihadiri lebih 5,000 bakal jemaah, di sini hari ini.
Awal bulan ini, Zulfikli berkata persiapan rapi bagi jemaah Malaysia ke Tanah Suci untuk musim haji 2026, dengan penerbangan pertama 18 April ini akan diteruskan mengikut perancangan.
Katanya lawatan beliau ke Makkah dan Madinah baru-baru ini mendapati TH sudah membuat persiapan yang lebih baik berbanding sebelum ini selain mempunyai pelan kontingensi bagi menghadapi sebarang perubahan tidak dijangka.











