Murid belajar bawah khemah: Anwar arah KPM, ICU segera cari penyelesaian

11 Apr 2026, 6:25 AM
Murid belajar bawah khemah: Anwar arah KPM, ICU segera cari penyelesaian

SHAH ALAM, 11 APRIL: Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri segera mencari penyelesaian isu pelajar Sekolah Kebangsaan Balaban Jaya di Sabah terpaksa belajar di bawah khemah serta di kaki lima masjid.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara tersebut amat mengesankan dan tindakan segera wajib dilaksanakan.

"Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada KPM dan ICU Jabatan Perdana Menteri untuk penyelesaian segera.

"Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama dan tindakan segera wajib dilaksanakan," katanya di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri turut memuat naik laporan berkaitan sekolah berkenaan yang disiarkan The Borneo Post, selepas berlaku kerosakan pada sebahagian infrastruktur yang dikaitkan pergerakan tanah dan cerun yang menyebabkan sekolah tidak berada dalam keadaan selamat.

Dalam laporan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook menggesa KPM di peringkat negeri dan Persekutuan supaya segera menangani nasib pelajar di sekolah berkenaan yang dilaporkan terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di ruang sementara yang tidak sesuai.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.