Permohonan UPU dilanjut hingga Isnin, elak mohon saat akhir

11 Apr 2026, 6:14 AM
Permohonan UPU dilanjut hingga Isnin, elak mohon saat akhir
Permohonan UPU dilanjut hingga Isnin, elak mohon saat akhir
Permohonan UPU dilanjut hingga Isnin, elak mohon saat akhir

SHAH ALAM, 11 APRIL: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melanjutkan tarikh tutup permohonan UPU Online bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga Isnin, 13 April, jam 12 tengah hari.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata tarikh tutup sebelum ini dijadualkan pada 12 April, jam 5 petang.

Menurutnya, lanjutan itu bagi memberi peluang kepada lepasan SPM 2025 membuat permohonan saat akhir dalam bidang pilihan masing-masing.

“Sukacitanya dimaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi bersetuju melanjutkan tarikh tutup permohonan UPU Online bagi lepasan SPM kepada 13 April, jam 12 tengah hari.

“Walaupun tempohnya singkat, ia memberi peluang tambahan kepada calon untuk membuat permohonan,” katanya ketika berucap pada Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Utara di Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau dalam masa sama mengingatkan calon supaya membuat permohonan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan sistem akibat peningkatan capaian serentak.

Katanya, calon juga perlu mendapatkan maklumat tepat mengenai program yang diminati bagi memudahkan proses permohonan.

“Setakat ini, UPU Online menerima 283,524 permohonan bagi lepasan SPM, manakala lepasan STPM dan setaraf pula sebanyak 112,488.

“Secara keseluruhan, jumlah permohonan adalah 351,012 dengan 379,578 pembelian nombor pin direkodkan,” katanya.

Beliau berkata angka tersebut menunjukkan minat tinggi dalam kalangan generasi muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.