SUKMA 2026 wajar diteruskan, penting untuk pembangunan atlet negara – penganalisis

10 Apr 2026, 1:01 PM
SUKMA 2026 wajar diteruskan, penting untuk pembangunan atlet negara – penganalisis
SUKMA 2026 wajar diteruskan, penting untuk pembangunan atlet negara – penganalisis
SUKMA 2026 wajar diteruskan, penting untuk pembangunan atlet negara – penganalisis
SUKMA 2026 wajar diteruskan, penting untuk pembangunan atlet negara – penganalisis

SHAH ALAM, 10 APRIL: Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 disifatkan bukan sekadar kejohanan sukan domestik, sebaliknya medan pembangunan atlet negara yang tidak wajar terganggu meskipun berdepan tekanan ekonomi semasa.

Penganalisis sukan Datuk Dr Pekan Ramli berkata kesinambungan temasya berkenaan amat penting kerana ia menjadi medan utama menguji dan membentuk atlet muda sebelum melangkah ke pentas lebih tinggi seperti Sukan SEA 2027.

Malaysia, katanya, tidak berada dalam situasi konflik atau zon perang, justeru tiada keperluan untuk mempertimbangkan penangguhan temasya berkenaan.

Penganalisis Sukan Datuk Dr Pekan Ramli

“Penangguhan SUKMA 2026 hanya akan menjejaskan perancangan rapi yang telah dibuat oleh negeri serta atlet yang kini giat melakukan persiapan awal sekali gus berisiko mengganggu momentum latihan dan pembangunan prestasi.

“Selain itu, temasya ini penting sebagai platform persediaan atlet ke arah Sukan SEA Kuala Lumpur 2027 di samping membuka ruang kepada kemunculan bakat muda baharu,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak cabaran kos yang mungkin meningkat sekiranya ketidaktentuan global berterusan, khususnya membabitkan harga tiket penerbangan untuk kontinjen dari Sabah dan Sarawak serta pasukan yang bergantung kepada pengangkutan udara.

Seramai 60 atlet Pasukan Pencak Silat dan Taekwondo Selangor menjalani sesi ujian kecergasan sebagai persediaan menghadapi SUKMA Selangor di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 4, Shah Alam pada 24 Januari 2026. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor

Dalam masa sama, Pekan menegaskan SUKMA juga berfungsi sebagai “penapis awal” untuk mengenal pasti atlet yang benar-benar mampu bersaing di peringkat antarabangsa, bukan sekadar bergelar jaguh kampung.

“Atlet tidak seharusnya sekadar menjadi jaguh di peringkat SUKMA, sebaliknya perlu berusaha menyerlah hingga ke pentas antarabangsa dengan meningkatkan kualiti prestasi, disiplin latihan serta daya saing yang tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan SUKMA 2026 wajar diteruskan bagi memastikan ekosistem pembangunan sukan negara tidak terputus serta terus melahirkan bakat baharu secara konsisten.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari memaklumkan SUKMA 2026 kekal berlangsung mengikut jadual pada 15 hingga 24 Ogos, meskipun berdepan cabaran krisis tenaga global dan tekanan ekonomi semasa.

Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 yang turut bersetuju supaya temasya berkenaan dilaksanakan pada skala lebih kecil sebagai langkah penjimatan kos.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi bersama ketua kontinjen Para Sukma sempena pelancaran Selangor Road To Champion Para Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Dewan Raja Muda Musa Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, EXCO Sukan memaklumkan Kerajaan Selangor mengamalkan pendekatan berhemah dalam penganjuran SUKMA dengan mengoptimumkan perbelanjaan tanpa menjejaskan kualiti temasya serta persiapan atlet.

Menurut Mohd Najwan Halimi, kawalan perbelanjaan akan dilaksanakan secara menyeluruh termasuk pengurangan elemen majlis perasmian yang tidak kritikal sepanjang penganjuran temasya itu.

SUKMA ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang, manakala Para SUKMA akan diadakan dari 15 hingga 20 September 2026.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.