Menteri: SUKMA Selangor 2026 diteruskan mengikut jadual

9 Apr 2026, 5:57 AM
Menteri: SUKMA Selangor 2026 diteruskan mengikut jadual
Menteri: SUKMA Selangor 2026 diteruskan mengikut jadual
Menteri: SUKMA Selangor 2026 diteruskan mengikut jadual
Menteri: SUKMA Selangor 2026 diteruskan mengikut jadual

SHAH ALAM, 9 APRIL: Temasya Sukan Malaysia XXII (SUKMA) Selangor 2026 tetap diteruskan mengikut jadual dari 15 hingga 24 Ogos ini walaupun berdepan cabaran krisis tenaga global dan tekanan ekonomi semasa.

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Dr Mohammad Norza Zakaria, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin serta EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi.

Mengulas keputusan itu, Dr Mohammed Taufiq berkata ia dibuat selepas menilai secara menyeluruh semua aspek termasuk tahap kesiapsiagaan penganjur dan persediaan atlet negeri.

“Keputusan ini dibuat antaranya selepas mengambil kira persiapan yang sudah dibuat oleh pihak terbabit, terutama Kerajaan Negeri Selangor sebagai penganjur dan barisan atlet di setiap negeri yang sudah membuat persiapan,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau turut menjelaskan bahawa penangguhan temasya berkenaan berpotensi membawa implikasi kewangan yang lebih besar kepada pihak penganjur.

Dalam masa sama, Jawatankuasa Tertinggi SUKMA bersetuju untuk melaksanakan temasya itu pada skala lebih kecil sebagai langkah penjimatan kos.

Namun beliau menegaskan pengurangan skala tersebut tidak akan menjejaskan jumlah sukan dipertandingkan mahupun kualiti pelaksanaan acara.

Langkah itu juga dilihat sebagai pendekatan terbaik bagi mengimbangi cabaran ekonomi semasa tanpa mengorbankan matlamat pembangunan sukan negara.

“Jawatankuasa Tertinggi SUKMA akan terus mengadakan perbincangan bagi memastikan SUKMA Selangor 2026 dapat dianjurkan seperti yang dirancang, dengan penekanan kepada kecekapan perbelanjaan dan kawalan kos,” katanya.

Temasya dwitahunan itu dijangka menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu serta memperkukuh pembangunan atlet di peringkat negeri dan kebangsaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.