Kerajaan jamin bekalan ubat mencukupi hingga pertengahan tahun

10 Apr 2026, 7:26 AM
Kerajaan jamin bekalan ubat mencukupi hingga pertengahan tahun

SHAH ALAM, 10 APRIL: Bekalan ubat-ubatan negara kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga Jun depan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kestabilan itu hasil gabungan stok simpanan kerajaan dan bekalan daripada industri, lapor portal Berita RTM.

Namun, katanya, kerajaan akan terus berwaspada dalam menangani sebarang risiko gangguan bekalan susulan ketidaktentuan ekonomi global.

“Sekiranya konflik di Asia Barat berterusan, kita akan melaksanakan langkah mitigasi sama ada jangka pertengahan atau panjang. Buat masa ini, orang ramai tidak perlu panik.

“Kita juga mengadakan libat urus dengan pemain industri bagi mendapatkan data bekalan, termasuk keperluan penting seperti insulin dan vaksin,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengakui berlaku peningkatan harga ubat dan peranti perubatan antara 30 hingga 40 peratus, didorong kos logistik dan kenaikan harga minyak global.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly memberi jaminan keadaan itu tidak menjejaskan perkhidmatan kesihatan negara, dengan langkah mitigasi akan terus dilaksanakan bagi memastikan bekalan kekal mencukupi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.