SHAH ALAM, 10 APRIL: Kerja baik pulih bagi perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling masih dijalankan susulan gangguan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menerusi Facebook, hari ini, berkata perkhidmatan tren alternatif akan diteruskan sehingga kerja pembaikan selesai.
"Bagi tren dari Stesen Ampang akan berpatah balik di Stesen Chan Sow Lin dengan jangkaan kekerapan enam minit.
"Penumpang menuju ke Ampang, perlu membuat pertukaran di Stesen Chan Sow Lin (Platform 1B dan 2B), manakala bagi penumpang dari Ampang ke Sentul Timur, pertukaran tren perlu dibuat di Stesen Chan Sow Lin (Platform 1A)," maklumnya.
Sementara itu, perkhidmatan tren dari Stesen Sentul Timur ke Stesen Putra Heights kekal beroperasi seperti biasa.
Rapid Rail memaklumkan, kakitangan tambahan sudah ditempatkan di stesen yang terjejas untuk memberikan bantuan dan panduan perjalanan kepada penumpang.
Selain itu, pengumuman berkala turut dibuat di stesen bagi memaklumkan status terkini perkhidmatan supaya lebih melancarkan perjalanan pengguna.
Penumpang disarankan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling melalui laman media sosial Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE.
Terdahulu, gangguan bekalan kuasa yang berlaku antara Stesen Awan Besar dengan Stesen Sri Petaling yang menyebabkan kelewatan.
Namun, Rapid Rail mengaktifkan perkhidmatan alternatif tren dan bas percuma bagi membolehkan pengguna meneruskan perjalanan.








