Bertugas Syawal: Sumbangan juadah raya ceriakan 300 anggota Penjara Sungai Buloh

20 Mac 2026, 12:00 AM
Bertugas Syawal: Sumbangan juadah raya ceriakan 300 anggota Penjara Sungai Buloh
Bertugas Syawal: Sumbangan juadah raya ceriakan 300 anggota Penjara Sungai Buloh
Bertugas Syawal: Sumbangan juadah raya ceriakan 300 anggota Penjara Sungai Buloh
Bertugas Syawal: Sumbangan juadah raya ceriakan 300 anggota Penjara Sungai Buloh

SUNGAI BULOH, 20 MAC: Ketika ramai membuat persiapan pulang ke kampung, kira-kira 300 anggota Penjara Sungai Buloh terus setia menjalankan tugas, mengorbankan sambutan Aidilfitri bersama keluarga demi tanggungjawab.

Namun, kerinduan terhadap insan tersayang sedikit terubat apabila mereka disantuni Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi program Singgah Syawal yang membawa sumbangan juadah raya.

Penguasa Penjara Sungai Buloh, Ardiansyah Mahmod berkata, komitmen kerja menyebabkan sebahagian besar anggota tidak dapat pulang beraya kerana operasi penjara perlu berjalan tanpa henti mengikut syif pagi, petang dan malam.

Penguasa Penjara Sungai Buloh, Ardiansyah Mahmod. Foto NAZLI IBRAHIM/MEDIA SELANGOR

“Alhamdulillah, pada hari ini kami menerima kunjungan Dato' Seri Amirudin Shari sempena program Singgah Syawal di Penjara Sungai Buloh.

“Kehadiran beliau sedikit sebanyak menghilangkan rasa sedih dalam kalangan anggota yang bertugas, khususnya mereka yang tidak pulang beraya dan bekerja pada 1 Syawal mengikut syif pagi, petang dan malam," katanya ketika ditemui Media Selangor, malam tadi.

Beliau menambah, lawatan itu bukan sahaja menceriakan suasana menjelang Aidilfitri, malah menjadi suntikan semangat kepada anggota yang terus komited menjalankan tugas demi keselamatan dan ketenteraman awam.

Amirudin turut meluangkan masa beramah mesra dengan anggota serta berkongsi hasrat untuk menyumbang lembu sempena Aidiladha akan datang kepada kakitangan dan penghuni penjara berkenaan sebelum menyampaikan juadah raya.

Selain Penjara Sungai Buloh, Menteri Besar turut menyantuni petugas di beberapa agensi lain termasuk KDEB ICI Sdn Bhd, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik sambil menyampaikan juadah Aidilfitri seperti lemang dan rendang.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor dalam Program Mb Singgah Syawal di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong, Shah Alam pada 19 Mac 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.