Gadai emas demi haji, impian tujuh beradik bertukar tragedi

18 Apr 2026, 6:00 AM
Gadai emas demi haji, impian tujuh beradik bertukar tragedi
Gadai emas demi haji, impian tujuh beradik bertukar tragedi
Gadai emas demi haji, impian tujuh beradik bertukar tragedi

SHAH ALAM, 18 APRIL: Demi merealisasikan impian ke Tanah Suci, tujuh beradik membuat pelbagai persiapan termasuk ada yang sanggup menggadai emas, namun segalanya musnah apabila mereka menjadi mangsa penipuan pakej haji.

Mangsa, Dr Nik Nurul Zilal Nik Mohd Kamel, 40, berkata perancangan untuk menunaikan ibadah haji bersama keluarga bermula sejak 2024 dengan sasaran berangkat pada 2025.

Mereka kemudian sepakat memilih pakej visa Mujamalah yang diperkenalkan oleh kenalan adiknya yang juga seorang peguam.

"Memang daripada awal niat kami tujuh beradik nak pergi sama-sama. Bila diperkenalkan dengan pakej Mujamalah, kami rasa peluang untuk pergi bersama itu lebih tinggi," katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Menurutnya, tempoh perjalanan 21 hari berbanding 45 hari menjadi faktor utama pemilihan pakej, meskipun kosnya lebih tinggi.

"Kami semua kerja sendiri dan ada komitmen. Saya sendiri ada anak kecil, jadi 45 hari itu agak lama. Sebab itu kami pilih pakej 21 hari walaupun lebih mahal," katanya yang mesra disapa Dr Nik.

Beliau berkata kos pakej itu mencecah antara RM75,000 hingga RM85,000 seorang, menyebabkan ada dalam kalangan mereka sanggup berusaha keras termasuk menggadai barangan berharga.

Ilustrasi menggambarkan penipuan haji yang semakin canggih, melibatkan penggunaan teknologi digital dan rangkaian antarabangsa untuk memperdaya mangsa. Foto AI (gambar hiasan)

Tanda mencurigakan mula timbul

Katanya, beliau menyedari beberapa perkara meragukan sejak awal, namun tetap meneruskan bayaran kerana bimbang terlepas peluang selain percaya kepada kenalan yang pernah menggunakan perkhidmatan sama.

"Masa pertama kali jumpa, saya rasa pelik sebab dia guna terlalu banyak jawatan. Kemudian bila fikir semula, memang tidak ada langsung dokumen sah selain resit dan salinan pasport," katanya.

Selain itu, Dr Nik berkata keyakinan mereka meningkat kerana salah seorang ahli keluarga mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat (IT).

"Bila kami semak nama tiada dalam sistem, orang tersebut kerap beri alasan sistem rosak. Selain itu, kami juga bertambah yakin apabila dia menunjukkan surat kelulusan kuota.

"Kami ada rasa ragu, tapi kami pujuk diri supaya bersangka baik. Tak nak rasa terlalu negatif sebab niat nak pergi haji," katanya.

Bayar penuh tanpa pengesahan rasmi

Menurutnya, bayaran deposit dibuat sekitar Mac diikuti bayaran penuh pada Mei tanpa sebarang pengesahan rasmi berkaitan visa atau kuota haji.

"Bila diminta bayar penuh, memang ada yang rasa pelik sebab kebiasaannya bayaran dibuat berperingkat selepas dapat pengesahan. Tetapi kami teruskan juga," katanya.

Beliau berkata mereka dijadualkan berlepas pada 30 Mei tahun lalu, namun sehingga hari penerbangan, dokumen penting seperti Nusuk tidak pernah diterima.

"Sampai hari nak terbang, kami masih tidak dapat Nusuk. Semua hanya diberitahu 'dah dapat' tapi tak pernah nampak bukti," katanya.

Jemaah haji dari seluruh dunia menunaikan ibadah melontar jamrah kubra pada 10 Zulhijjah di Mina pada 6 Jun 2025. Foto BERNAMA

Keadaan bertambah mencurigakan apabila mereka diminta memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong sebelum urusan dokumen haji diselesaikan di sana.

Akhirnya, mereka sepakat untuk tidak meneruskan perjalanan kerana enggan mengambil risiko, walaupun terdapat jemaah lain yang tetap berangkat.

"Kami dengar mereka berpusing berjam-jam dalam gelap di Riyadh sebelum diminta turun dan berjalan ke Arafah. Akhirnya mereka patah balik," katanya.

Kesan emosi mendalam kepada keluarga

Mengulas kejadian itu, beliau menyifatkan pengalaman tersebut memberi kesan emosi yang mendalam kepada seluruh keluarga.

"Perasaan itu memang sangat berat, lebih daripada putus cinta. Sampai tak ada selera makan, tak boleh tidur.

"Kami cuba bersangka baik dengan Allah. Mungkin ini satu ujian atau cara Allah lindungi kami," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mendakwa pihak penganjur gagal menunaikan janji untuk membuat bayaran balik penuh.

"Kami disekat oleh penganjur dalam kumpulan Whatsapp, apabila ajak berjumpa dan berbincang, pelbagai alasan digunakan termasuk sakit.

"Apabila kami semak latar belakang penganjur, rupanya jawatan yang digunakan itu tidak sah dan syarikat juga tidak pernah diaudit. Malah orang tersebut ada kes lain sebelum ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau dan keluarga telah membuat laporan polis serta merancang tindakan undang-undang selain berkongsi pengalaman sebagai peringatan kepada orang ramai.

"Kami buat keputusan untuk war-warkan kisah kami supaya orang lain lebih berhati-hati," katanya.

Dr Nik Nurul Zilal Nik Mohd Kamel, 40, menjadi mangsa penipuan pakej haji bersama enam beradiknya.

Semak dulu, jangan terus percaya tawaran haji

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terperinci sebelum membuat sebarang keputusan, terutama melibatkan ibadah haji.

"Kalau ada rasa tak sedap hati, jangan abaikan. Buat kajian, dapatkan nasihat golongan profesional dan pastikan semua dokumen transaksi lengkap," katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan setakat ini tiada aduan khusus berkaitan penipuan haji diterima pada 2025.

Bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan tetap dilaksanakan terhadap kandungan berunsur penipuan.

"Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2025, sebanyak 21 permohonan penurunan kandungan aktiviti penipuan dan kandungan palsu telah dibuat," menurut agensi itu.

Menurut MCMC, kes penipuan haji berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Orang ramai digalakkan melaporkan aktiviti mencurigakan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

"Selain itu, berhati-hati jika pautan mencurigakan, desakan membuat bayaran segera serta permintaan maklumat peribadi pada peringkat awal," tegas MCMC.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.