Impian tunai haji bersama ibu bapa tertangguh, tiga beradik bawa doa ke Arafah

25 Mei 2026, 4:19 AM
Impian tunai haji bersama ibu bapa tertangguh, tiga beradik bawa doa ke Arafah

MAKKAH, 25 MEI: Kegembiraan tiga beradik apabila terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini pada mulanya disambut penuh rasa syukur kerana menyangka impian menjadi tetamu Allah bersama ibu bapa menjadi kenyataan.

Namun, harapan itu tidak kesampaian apabila keputusan pemeriksaan kesihatan mendapati ibu mereka Nazifah Abdul Latif, 73, yang menghidap asma serta bapa Mohd Mustafa Yahya, 71, yang mempunyai masalah jantung, tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke Tanah Suci atas faktor kesihatan.

Daripada enam ahli keluarga yang merancang untuk berangkat bersama pada musim haji kali ini, hanya tiga beradik itu selamat tiba di bumi Makkah bagi menyempurnakan rukun Islam kelima.

Siti Munirah Mohd Mustafa, 38, berkata sejak menerima tawaran menunaikan haji, mereka adik-beradik telah membuat persiapan rapi termasuk merancang menjaga kedua-dua ibu bapa sepanjang berada di Tanah Suci.

“Kami memang sudah merancang untuk menjaga mak dan ayah di sini. Adik lelaki akan uruskan ayah, manakala kami adik-beradik perempuan akan bantu mak.

“Tetapi apabila keputusan kesihatan keluar, kami terpaksa menerima hakikat bahawa Allah belum menjemput mereka lagi tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Walaupun bersyukur diberi peluang menunaikan ibadah haji, Siti Munirah mengakui pemergian tanpa ibu bapa menjadikan perjalanan itu berbeza daripada yang pernah mereka impikan.

Justeru, ketika jutaan jemaah berhimpun di Padang Arafah nanti, tiga beradik itu bersepakat untuk menitipkan doa sama iaitu memohon agar kedua-dua ibu bapa mereka dikurniakan kesihatan dan dipermudahkan jalan untuk menunaikan haji pada masa hadapan.

Bagi Siti Munirah, doa itu cukup bermakna kerana peluang mereka berada di Tanah Suci hari ini lahir daripada pengorbanan ibu bapa yang menabung sejak mereka masih kecil.

Katanya, setiap duit raya, hadiah dan wang simpanan dikumpulkan ke dalam akaun Tabung Haji, malah ibu bapa mereka turut mendaftarkan anak-anak untuk haji seawal 2009.

“Kami bukan datang daripada keluarga yang senang. Mak dan ayah membesarkan empat orang anak dengan pendapatan biasa sebagai penjawat awam.

“Namun dalam keadaan itu, mereka tetap menyimpan sedikit demi sedikit demi memastikan anak-anak dapat sampai ke sini suatu hari nanti,” katanya.

Menurut Siti Munirah, walaupun sedih impian menunaikan haji bersama ibu bapa belum tercapai tahun ini, keluarganya memilih untuk menerima keadaan itu dengan hati terbuka dan percaya setiap ketentuan mempunyai hikmah tersendiri.

Malah, kakak sulung mereka yang turut menerima tawaran haji membuat keputusan menangguhkan pemergiannya demi menjaga ibu bapa di tanah air serta bersedia menemani mereka sekiranya dipanggil menunaikan haji pada musim akan datang.

“Kami percaya jika Allah mempermudah perjalanan kami ke sini, Allah juga mampu membuka jalan buat mak dan ayah pada waktu yang ditentukan-Nya.

“Sebab itu di Arafah nanti, antara doa paling kami harapkan dimakbulkan ialah doa untuk mereka,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.