SHAH ALAM, 10 APRIL: Sistem amaran cuaca berasaskan lokasi sedang dibangunkan bagi memastikan maklumat dapat disampaikan kepada orang ramai dengan lebih pantas dan tepat.
Ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata sistem itu akan menghantar mesej amaran ke telefon bimbit pengguna di kawasan terjejas, sekali gus memberi masa mencukupi untuk mereka mengambil tindakan sewajarnya.
Jelas Dr Mohd Hisham Mohd Anip, kaedah berkenaan adalah penambahbaikan kepada saluran sedia ada seperti aplikasi MyCuaca, laman web dan media sosial.
“MetMalaysia tidak bergerak bersendirian. Kita ada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang sentiasa berusaha menambah baik sistem amaran bencana, selain dengan kerjasama syarikat telekomunikasi.
“Jadi, kalau ada amaran bencana di sesuatu tempat, semua pengguna telefon bimbit di kawasan itu akan terima amaran awal. Mereka ada masa yang cukup untuk bertindak,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Beliau berkata selain teknologi digital, sistem siren turut digunakan khususnya di kawasan berisiko banjir, tsunami dan kepala air.
“Kita ada siren tsunami di bawah MetMalaysia, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan siren amaran aras sungai. Siren amaran tanah runtuh pula di bawah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG). Selain itu, siren di kawasan perkelahan oleh Jabatan Perhutanan.
“Di pedalaman pula, kerajaan sedang memperluas liputan internet. Saya pasti orang di pedalaman pun ada telefon bimbit. Jadi mereka pun akan menerima amaran awal bencana,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelbagai agensi terlibat memastikan amaran awal dapat disampaikan dengan berkesan, khususnya dalam keadaan cuaca yang semakin tidak menentu.
“Penyampaian maklumat yang cepat dan tepat boleh membantu menyelamatkan nyawa dan harta benda,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi bagi mengelakkan kekeliruan.
Katanya, penggunaan aplikasi MyCuaca dan platform rasmi MetMalaysia dapat membantu orang ramai merancang aktiviti harian dengan lebih baik.








