Lelaki miliki 10 rekod jenayah cedera ditembak selepas cuba serang polis

9 Apr 2026, 3:58 AM
Lelaki miliki 10 rekod jenayah cedera ditembak selepas cuba serang polis

SHAH ALAM, 9 APRIL: Seorang lelaki yang mempunyai lebih 10 rekod jenayah ditembak selepas cuba menyerang anggota polis dengan parang dalam kejadian di hadapan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Kelantan malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, suspek yang berusia lingkungan 30-an cedera paha kanan selepas ditembak.

Menurut sumber, insiden bermula apabila sepasukan polis peronda mengesan dua lelaki menaiki motosikal berhenti di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di lokasi berkenaan.

“Pembonceng motosikal kemudian pergi ke bank dan apabila anggota polis menghampirinya untuk pemeriksaan, dia enggan memberi kerjasama,” katanya.

Situasi menjadi tegang apabila suspek secara tiba-tiba mengeluarkan parang dari dalam beg miliknya dan bertindak agresif terhadap anggota polis.

“Suspek tiba-tiba mengeluarkan parang dan cuba menyerang anggota,” jelas sumber itu lagi, lapor Berita Harian.

Bagi mengawal keadaan, seorang anggota melepaskan tembakan amaran ke udara, namun tindakan itu tidak diendahkan suspek yang terus bertindak agresif.

“Keadaan itu memaksa polis melepaskan tembakan ke arah suspek dan mengenai pahanya,” katanya.

Suspek kemudian cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam longkang berhampiran, namun berjaya ditahan tidak lama kemudian.

Lelaki tersebut seterusnya dibawa ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut akibat kecederaan yang dialami.

Sumber turut memaklumkan bahawa suspek mempunyai lebih 10 rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah, selain dipercayai terbabit dalam kes rompakan di sebuah kedai serbaneka di Machang ketika musim perayaan.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian dalam masa terdekat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.