SHAH ALAM, 9 APRIL: Permohonan Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) masih dibuka dan memberi peluang kepada ibu bapa dan penjaga yang layak untuk memohon bantuan pendidikan awal anak-anak mereka.
Inisiatif di bawah Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) itu menyasarkan kanak-kanak berumur lima dan enam tahun daripada keluarga berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah.
Antara syarat kelayakan lain termasuk pemohon mestilah lahir atau bermastautin di Selangor serta merupakan pengundi berdaftar di negeri ini.
Kanak-kanak juga perlu berdaftar di tadika yang diiktiraf Kementerian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan KEMAS.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian dengan mengimbas kod QR yang disediakan atau melayari laman sesawang rasmi di tunas.yawas.com.my.
Pemohon diingatkan menyediakan dokumen lengkap seperti sijil lahir anak, kad pengenalan pemohon dan pasangan, salinan semakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta penyata gaji terkini.
Selain itu, slip pendaftaran tadika atau resit bayaran yuran turut diwajibkan bagi melengkapkan permohonan.
Semua dokumen hendaklah dimuat naik ke dalam sistem semasa permohonan dibuat dan tiada penghantaran dokumen fizikal diperlukan ke pejabat YAWAS.










