3,636 kanak-kanak terima manfaat di bawah skim bantuan tadika 2026

3 Jan 2026, 8:33 AM

SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 3,636 kanak-kanak bakal menerima manfaat Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) menerusi peruntukan RM2 juta tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) Gan Pei Nei berkata program itu melibatkan bantuan RM50 sebulan kepada setiap kanak-kanak berusia lima dan enam tahun daripada keluarga berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah.

“Subsidi yuran tadika RM50 (sebulan) di bawah skim TUNAS. Tangga gajinya telah kita naikkan kepada RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini.

“Kita terima maklum balas dan permintaan tinggi daripada keluarga. Sebenarnya tangga gaji itu mereka minta dinaikkan supaya boleh melayakkan lebih ramai keluarga yang perlukan bantuan seperti ini.

“Kita faham dengan kos operasi dan yuran semakin meningkat, sekarang ibu bapa perlukan subsidi seperti ini untuk meringankan beban mereka khasnya untuk pendidikan anak-anak,” katanya kepada Media Selangor.

Jelasnya, empat kategori tadika yang layak termasuk tadika berdaftar dengan Kementerian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Tabika Perpaduan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Menerusi Belanjawan 2026, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan RM2 juta untuk program TUNAS demi memastikan setiap kanak-kanak di Selangor mendapat peluang pendidikan awal yang bermutu.

Sejak diperkenalkan pada 2012, TUNAS telah memanfaatkan 21,236 ibu bapa di seluruh Selangor sehingga 2023.