69 warga asing termasuk GRO ditahan dalam Ops Gegar

9 Apr 2026, 1:34 AM
69 warga asing termasuk GRO ditahan dalam Ops Gegar
69 warga asing termasuk GRO ditahan dalam Ops Gegar

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 69 warga asing, dengan sebahagian besarnya dikesan bekerja sebagai gadis pelayan (GRO) dalam serbuan Ops Gegar di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi, di sini pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Datuk Lokman Effendi Ramli berkata 198 individu diperiksa dan kesemua warga asing yang ditahan itu kebanyakannya terdiri daripada warga Thailand, Vietnam dan China.

"Kesalahan paling kerap dilakukan adalah menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja (termasuk sebagai GRO) dan warga asing yang datang menggunakan pas ini sudah tentu tidak mempunyai permit sah untuk bekerja di sini.

"Tindakan tegas juga akan diambil terhadap majikan sekiranya mereka didapati bersalah menggaji warga asing ini dan majikan berkenaan akan turut didakwa," katanya pada sidang media selepas tamat operasi tersebut pagi ini.

Dalam serbuan bermula 12 tengah malam itu, segelintir warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dengan memanjat tangga dan bersembunyi di bumbung premis, namun cubaan itu berjaya dipatahkan.

Lokman Effendi berkata operasi membanteras aktiviti tidak bermoral itu melibatkan 89 pegawai Imigresen.

Operasi itu turut disertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam operasi tersebut, pihak JKDM turut merampas beberapa botol minuman keras yang dipercayai cuba mengelak daripada cukai.

Sementara itu, Lokman Effendi memaklumkan bermula Januari hingga 7 April lalu, JIM telah melaksanakan 106 Ops Gegar di seluruh negara.

"Sepanjang tempoh tersebut, lebih 1,800 orang diperiksa dengan 670 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dengan tiga negara penyumbang tertinggi kepada jumlah tangkapan ini ialah Thailand, China dan Vietnam yang merekodkan lebih 400 tangkapan," katanya.

Beliau berkata kesemua 69 warga asing yang ditahan awal pagi tadi dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.