SHAH ALAM, 8 APRIL: Seorang pelajar tingkatan enam ditahan polis selepas disyaki menyimpan ribuan video dan gambar pornografi termasuk kandungan kanak-kanak dalam serbuan di Kampung Seromah, di Bau, Kuching, Sarawak kelmarin.
Suspek lelaki berusia 19 tahun itu diberkas dalam operasi Op Cyber Guardian oleh sepasukan pegawai D11, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak kira-kira jam 6.10 petang.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Seromah itu hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti dalam talian.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati suspek melayari laman sesawang pornografi melalui telefon bimbit, lapor Berita Harian.
"Suspek turut menunjukkan sejarah pelayaran bahan lucah dalam aplikasi media sosial dan enjin carian," katanya.
Mohd Haide berkata, pemeriksaan lanjut ke atas komputer riba milik suspek menemukan lebih banyak bahan tidak bermoral yang diakses melalui internet.
Susulan itu, polis menahan suspek kerana disyaki terbabit dengan aktiviti melayari serta menyimpan bahan pornografi kanak-kanak dan dewasa.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek menyimpan sebanyak 936 video lucah dan 4,035 gambar pornografi dalam telefon bimbitnya.
"Suspek juga dipercayai menjalankan aktiviti jual beli video lucah melalui aplikasi Telegram serta mempromosikannya di platform TikTok.
"Bagaimanapun, suspek mendakwa tidak ketagih terhadap bahan berkenaan dan hanya menjadikannya sebagai sumber pendapatan," katanya.
Polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit dan komputer riba bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 15 April ini bagi membantu siasatan.








