SHAH ALAM, 11 APRIL: Polis menahan tiga pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 15 tahun kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes kecurian wang derma tabung surau di sekitar Kangkar Pulai, Iskandar Puteri, Johor.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata pihaknya menerima laporan kejadian kecurian itu kelmarin.
Katanya, bertindak atas laporan, pihaknya berjaya menahan ketiga-tiga remaja yang masih bersekolah itu antara jam 11.10 malam hingga 11.41 malam semalam di kawasan Kangkar Pulai.
"Susulan penahanan ketiga-tiga suspek, polis telah merampas dua tabung surau dan sebuah motosikal yang dipercayai dicuri.
"Kita percaya berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian wang derma tabung surau serta satu kes kecurian motosikal yang dilaporkan berlaku di kawasan Kangkar Pulai sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketiga-tiga suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini hingga Rabu depan bagi membantu siasatan lmengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dengan niat melakukan jenayah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.








