Bukit Aman serbu 13 premis judi, berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga

3 Apr 2026, 12:01 PM
Bukit Aman serbu 13 premis judi, berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga

SHAH ALAM, 3 APRIL: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menggempur 13 premis perjudian yang berselindung di sebalik lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) dan Pusat Hiburan Interaktif (PHI) di Selangor dan Sabah.

Op Dadu Khas itu dilaksanakan JSJ Bukit Aman selama dua hari bermula kelmarin, dengan kerjasama JSJ Selangor dan Sabah.

Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) menyerbu lapan premis di sekitar Seri Kembangan dan Klang, Selangor, manakala lima lagi di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan, Sabah, lapor Berita Harian.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata premis terbabit cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mempamerkan lesen aktiviti PHK yang lazimnya menawarkan permainan simulator untuk kanak-kanak.

“Sepatutnya premis menyediakan permainan seperti boling atau aktiviti kanak-kanak lain, namun sebaliknya ia dilengkapi peralatan komputer yang digunakan untuk aktiviti perjudian.

“Dalam operasi ini, seramai 52 penjaga premis dan pemain judi, terdiri daripada warga tempatan dan asing, ditahan di Selangor, manakala 11 lagi ditahan di Sabah.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 75 tahun,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas tablet, peralatan komputer, mesin perjudian serta wang tunai dalam semua serbuan berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

M. Kumar menegaskan operasi akan diteruskan secara berterusan, selain memberi amaran keras kepada penganjur dan sindiket supaya tidak cuba menghidupkan semula aktiviti perjudian.

“Saya telah mengarahkan semua Ketua JSJ di setiap kontinjen memantau dan memastikan sebarang aktiviti perjudian dibanteras habis-habisan,” katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan sindiket kini cuba kembali aktif dengan menggunakan modus operandi baharu.

“Trend semasa menunjukkan sindiket beralih kepada mesin perjudian berskala besar seperti simulator dan komputer dengan skrin bersaiz besar.

“Saya ingin mengingatkan bahawa aktiviti perjudian ini pasti membawa kerugian kepada pemain, malah boleh mencecah ribuan hingga jutaan ringgit,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.