SHAH ALAM, 8 APRIL: Kerajaan Selangor mempergiat usaha memperkukuh kesiapsiagaan sistem perkhidmatan perubatan dengan memberi penekanan kepada program pencegahan susulan peningkatan populasi warga emas.
EXCO Kesihatan Awam berkata pendekatan itu tidak hanya tertumpu kepada penambahan kapasiti rawatan, sebaliknya merangkumi usaha membangunkan sistem lebih mampan melalui pengesanan awal serta intervensi kesihatan berterusan.
Menurut Jamaliah Jamaluddin, program yang dilaksanakan di semua sembilan daerah sejak tahun lalu bertujuan meningkatkan kesejahteraan golongan itu, merangkumi saringan asas termasuk penilaian keuzuran dan aspek pemakanan.
“Kerajaan Negeri komited memastikan intervensi awal dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengurangkan risiko penyakit kronik dan kebergantungan kepada rawatan jangka panjang.
“Pendekatan yang diambil bukan sekadar menambah kapasiti rawatan, tetapi membina sistem yang mampan dengan memberi penekanan kepada pencegahan dan pengesanan awal.
“Program ini turut disusuli intervensi seperti ceramah kesedaran, senaman berkala dan rawatan fisioterapi yang dilaksanakan setiap dua minggu selama tiga bulan bagi memastikan keberkesanan saringan yang dijalankan,” katanya kepada Media Selangor.
Jamaliah menjelaskan peserta program kemudiannya menjalani saringan susulan bagi menilai kesan intervensi terhadap tahap kesihatan mereka.
Sepanjang tahun lalu, beliau berkata lebih 1,800 warga emas di Selangor telah menjalani saringan kesihatan di bawah inisiatif tersebut.
Semalam, media melaporkan Malaysia semakin menghampiri kategori negara menua yang dijangka memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan awam, terutama dari segi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan geriatrik dan rawatan penyakit tidak berjangkit.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata pertambahan warga emas menuntut penyediaan penjagaan jangka panjang termasuk rumah kebajikan, penjagaan di rumah dan pengurusan pelbagai ubat.
Menurutnya, kos kesihatan per kapita bagi warga emas adalah tiga hingga lima kali ganda lebih tinggi berbanding golongan muda, sekali gus memberi tekanan kepada sistem sedia ada.








