Penunggang motosikal maut dirempuh selepas terjatuh

31 Mei 2026, 2:52 AM
Penunggang motosikal maut dirempuh selepas terjatuh

SHAH ALAM, 31 MEI: Lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar tong padi traktor yang diparkir di tepi jalan sebelum dirempuh sebuah lagi motosikal dalam kejadian di Jalan Tali Air 11, Ban 1, Sungai Nibong, Sekinchan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata kemalangan jam 10 malam itu membabitkan mangsa berusia 70 tahun yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Ban 1 menuju ke Ban 2.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi mangsa dipercayai terlanggar bahagian belakang tong padi traktor yang diparkir di sebelah kiri jalan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa terlanggar bahagian belakang tong padi traktor yang diparkir di kiri jalan hingga menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, pada masa sama sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak mangsa yang terjatuh lalu melanggar mangsa.

Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian muka dan kepala.

“Mangsa yang cedera di muka dan kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, penunggang motosikal Yamaha Y15ZR terbabit turut mengalami kecederaan pada muka dan menerima rawatan lanjut.

Md Yusof berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Menurutnya, pemilik tong padi traktor yang diparkir di lokasi kejadian sudah dikenal pasti dan keterangan individu terbabit telah diambil bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya sambil meminta saksi kejadian tampil menghubungi Inspektor Siti Atikah Md Ali di talian 013-3328212 bagi membantu siasatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.