SHAH ALAM, 21 APRIL: Jabatan Imigresen membongkar kegiatan sindiket yang memanipulasi dokumen imigresen melalui pengubahsuaian serta penggunaan pelekat palsu menerusi dua serbuan Op Serkap di sekitar Selayang, Selangor dan Desa Petaling, di sini.
Dalam operasi itu, tiga warga Sri Lanka termasuk seorang wanita berusia antara 35 hingga 45 tahun ditahan, manakala pelbagai peralatan serta dokumen yang telah diubah suai bagi mengaburi pihak berkuasa turut dirampas, lapor Berita Harian.
Antaranya 11 naskhah pasport pelbagai negara, 15 keping i-kad, lima peranti digital, lima telefon bimbit dan sebuah buah mesin pencetak.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata modus operandi sindiket melibatkan pengubahsuaian dokumen tulen dikeluarkan pihak berkuasa seperti pas elektronik (ePASS) dan pelekat palsu untuk digunakan pihak lain bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa.
Beliau berkata, sindiket turut menyediakan beberapa dokumen pendaftaran perkahwinan membabitkan pasangan kepada warganegara serta laporan perubatan untuk urusan permohonan dengan Imigresen dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Katanya, kegiatan dipercayai dijalankan secara terancang kurang dua tahun lalu dengan melibatkan rangkaian tertentu bagi memudahkan kemasukan dan penempatan warga asing secara tidak sah di negara ini.
"Semua warga asing ditahan ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan- peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya.








