SHAH ALAM, 8 APRIL: Balu mangsa kemalangan maut di Klang yang kini meneruskan kehidupan bersama tiga anak di Kampung Repoh, Batu Kurau berkata, tiga anaknya semakin menyesuaikan diri dan mula melupakan tragedi hitam yang menimpa bapa mereka.
Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata, dua daripada anaknya yang berusia tujuh dan sembilan tahun sudah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Repoh dan menunjukkan perkembangan positif.
“Jika dilihat pada riak wajah, mereka semakin seronok di sini dan dapat melupakan seketika peristiwa yang berlaku,” katanya ketika ditemui, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, beliau berkata anak bongsunya yang berusia dua tahun masih belum memahami sepenuhnya kehilangan tersebut dan sering bertanyakan mengenai bapanya.
“Saya maklumkan bapanya sudah tiada dan minta dia doakan yang baik-baik serta sedekahkan al-Fatihah,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Nadia meluahkan rasa lega apabila ketiga-tiga anaknya menerima bantuan simpanan pendidikan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Katanya, inisiatif itu memberi jaminan awal terhadap masa depan pendidikan anak-anak tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pihak lain.
“Saya mahu pastikan masa depan pendidikan anak-anak terjamin walaupun kami melalui ujian ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan urusan bantuan dan sokongan berjalan lancar hasil kerjasama pelbagai pihak yang tampil membantu meringankan beban keluarga.
Mengulas lanjut, Nor Nadia berkata beliau kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada kebajikan serta pendidikan anak-anak selain berusaha meneruskan kehidupan baharu di kampung.
“Walaupun masih rindu kenangan bersama arwah, saya perlu kuat demi anak-anak dan memastikan mereka membesar dengan baik,” katanya.
Dalam kejadian 29 Mac lalu, Amirul Hafiz Omar, 33, maut dirempuh seorang pemandu dipercayai di bawah pengaruh dadah dan alkohol di Jalan Raya Barat, Klang jam 11.47 pagi.
Berikutan itu seorang pembantu makmal dihadapkan di Mahkamah Majistret Klang, pada 1 April lalu atas tuduhan membunuh sehingga menyebabkan kematian Amirul Hafiz.








