Juruteknik didakwa bunuh penunggang motosikal di Klang

1 Apr 2026, 3:40 AM
Juruteknik didakwa bunuh penunggang motosikal di Klang

SHAH ALAM, 1 APRIL: Seorang juruteknik didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang pada Ahad lalu.

Tertuduh, R Saktygaanapathy, 28, yang tidak diwakili peguam, mengangguk faham selepas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33, di lokasi berkenaan kira-kira jam 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun jika sabit kesalahan.

Jika tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh turut berdepan hukuman sebatan tidak kurang 12 kali.

Dalam kejadian pagi Ahad lalu, Amirul Hafiz maut di lokasi selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang dipandu suspek, dipercayai secara melulu di lorong bertentangan menghala ke bandar Klang.

Siasatan awal mendapati pemandu terbabit dipercayai memotong beberapa kenderaan di laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal yang ditunggang mangsa, Amirul Hafiz Omar.

Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.