KPDN pantau stesen minyak Bangi, tiada penyelewengan dikesan

7 Apr 2026, 7:10 AM
KPDN pantau stesen minyak Bangi, tiada penyelewengan dikesan

SHAH ALAM, 7 APR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kajang melaksanakan operasi pemantauan di stesen minyak sekitar Bandar Baru Bangi, semalam.

Operasi berkenaan turut memberi tumpuan kepada pematuhan larangan penjualan petrol RON95 dan diesel kepada kenderaan berdaftar asing di semua premis yang diperiksa.

Pemeriksaan turut melibatkan ujian ketepatan pam minyak menggunakan alat pengukur isipadu cecair (SIC) 10 liter.

"Ujian itu diselaraskan dengan Akta Timbang dan Sukat 1972 bagi memastikan tiada unsur penipuan dalam sukatan bahan api," menurut kenyataannya di Facebook.

Hasil pemeriksaan mendapati semua pam yang diuji menunjukkan bacaan dalam julat yang dibenarkan dan tidak merekodkan sebarang kesilapan.

Dalam masa sama, dispenser yang digunakan juga didapati masih dalam tempoh sah kalibrasi.

"Secara keseluruhan, pengusaha stesen minyak di kawasan terbabit didapati mematuhi sepenuhnya peraturan dan undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.