Kebakaran terbuka rekod 12,938 kes, cuaca panas antara faktor utama

7 Apr 2026, 6:21 AM
Kebakaran terbuka rekod 12,938 kes, cuaca panas antara faktor utama
Kebakaran terbuka rekod 12,938 kes, cuaca panas antara faktor utama
Kebakaran terbuka rekod 12,938 kes, cuaca panas antara faktor utama

SHAH ALAM, 7 APRIL: Kes kebakaran melibatkan hutan, belukar serta kebun atau ladang di negara ini mencatat peningkatan mendadak apabila merekodkan 12,938 kes dari Januari hingga 31 Mac tahun ini.

Jumlah itu melepasi keseluruhan kes sepanjang tahun lalu yang mencatatkan 9,941 kes bagi tempoh Januari hingga Disember, sekali gus menunjukkan trend membimbangkan dalam tempoh singkat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ir Ts Ahmad Izram Osman berkata peningkatan itu dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca panas ketika ini.

“Peningkatan kes kebakaran tahun ini dipercayai berpunca daripada beberapa faktor iaitu cuaca panas dan kering, aktiviti pembakaran terbuka yang tidak terkawal dan kurangnya pemantauan di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan di Kota Bharu hari ini, lapor Harian Metro.

Menurut beliau, kebakaran belukar menjadi penyumbang utama dengan 11,147 kes, diikuti kebakaran hutan 1,047 kes serta kebun atau ladang mencatatkan 744 kes.

Katanya, peratusan kebakaran belukar dianggarkan melebihi 80 peratus daripada keseluruhan kes, menjadikannya isu utama yang memerlukan perhatian serius.

Selangor mencatatkan jumlah kebakaran hutan tertinggi iaitu 337 kes, diikuti Kelantan (123 kes), Pulau Pinang (121 kes), Sabah (113 kes) dan Kedah (102 kes).

Bagi kebakaran belukar pula, Kedah merekodkan jumlah tertinggi 2,524 kes, diikuti Johor (1,886 kes), Melaka (1,010 kes), Kelantan (937 kes) dan Perak (759 kes).

Sementara itu, Johor mencatatkan kebakaran kebun atau ladang tertinggi dengan 359 kes, diikuti Selangor (165 kes), Perak (54 kes), Kedah (29 kes) dan Kelantan (25 kes).

Dalam usaha menangani isu berkenaan, JBPM mencadangkan beberapa langkah termasuk memperketat penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka, meningkatkan rondaan dan pemantauan, memperhebat kempen kesedaran awam serta penggunaan teknologi seperti dron dan sistem amaran awal.

Selain itu, kerjasama antara agensi berkaitan turut diperkukuh bagi memastikan tindakan lebih berkesan dalam mengawal kejadian kebakaran terbuka.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.