SHAH ALAM, 17 OKT: Lima daerah di Selangor dikenal pasti antara kawasan berisiko berlaku kebakaran terbuka ketika fenomena El Nino, khususnya di kawasan hutan, belukar, pertanian dan tanah gambut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail berkata daerah terbabit ialah Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang dan Hulu Selangor.
“Bagi Selangor, perhatian khusus wajar diberikan kepada kawasan yang mempunyai litupan hutan, belukar, kebun atau ladang serta kawasan tanah gambut, terutama apabila tempoh kering berpanjangan.
“Berdasarkan statistik semasa dan titik panas antara kawasan yang perlu diberi perhatian dari sudut risiko operasi ialah Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang, Hulu Selangor, serta kawasan tertentu di Klang, Petaling dan Gombak,” katanya kepada Media Selangor.
Bagaimanapun, Wan Md Razali berkata penentuan kawasan titik panas sebenar bergantung kepada keadaan cuaca semasa, tahap kelembapan tanah, rekod kebakaran serta pemantauan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Selangor.

Justeru, katanya, kawasan berisiko yang dikenal pasti tidak semestinya kekal sama sepanjang fenomena El Nino yang diramalkan berlanjutan sehingga tahun depan.
Beliau turut memaklumkan kes kebakaran terbuka di Selangor meningkat sebanyak 802 kes tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kebakaran belukar menjadi penyumbang utama dengan peningkatan sebanyak 399 kes, manakala zon hotspot di bahagian Selangor selatan menunjukkan lonjakan kes yang tinggi pada tahun ini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup memaklumkan fenomena El Nino dijangka berlanjutan sehingga pertengahan tahun depan, dengan kemungkinan mencapai tahap 'super' atau sangat kuat mulai bulan ini hingga Januari 2027.
Beliau dilaporkan berkata analisis Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mendapati Monsun Barat Daya yang berlaku serentak dengan fenomena El Nino boleh menyebabkan taburan hujan berkurangan serta cuaca lebih panas dan kering.








