SHAH ALAM, 7 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas negara kekal mencukupi meskipun berdepan krisis tenaga global.
Menerusi infografik yang dikongsi di Facebook rasmi KPDN, kementerian itu memaklumkan pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan bekalan barangan kawalan seperti minyak masak, tepung gandum, gula dan bahan api tidak terjejas.
Menurutnya, langkah itu turut memastikan bekalan barangan asas lain kekal stabil dan mencukupi di pasaran.
Dalam masa sama, pengguna diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin serta sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber sahih.
Orang ramai juga disaran membeli mengikut keperluan dan mengelakkan pembelian panik yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan.
Selain itu, sebarang salah laku peniaga seperti penyorokan barang atau pencatutan harga perlu dilaporkan kepada KPDN untuk tindakan lanjut.
KPDN turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dalam situasi semasa serta memastikan alat timbang dan sukat ditentusahkan secara berkala.








