ALOR SETAR, 6 APRIL: Sebuah kapal persiaran yang menjalankan aktiviti ‘sunset cruise’ ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas didapati membawa penumpang melebihi had dibenarkan, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Romli Mustafa berkata penahanan dibuat jam 5.20 petang oleh bot ronda maritim ketika menjalankan rondaan rutin di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika di timur Pulau Bumbon Besar.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan.
“Kapal persiaran itu dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama lima kru warga tempatan berusia antara 23 hingga 37 tahun ketika menjalankan aktiviti rekreasi di laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semua individu terbabit bersama vesel dan barang kes telah ditahan sebelum dibawa ke jeti maritim negeri Kedah dan Perlis bagi tujuan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Romli menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan keselamatan, khususnya melibatkan aktiviti pelancongan yang boleh mengundang risiko kepada nyawa penumpang.
“APMM akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
- BERNAMA








