Wanita berusia 27 tahun meninggal dunia dalam bilik hotel

6 Apr 2026, 2:30 PM
Wanita berusia 27 tahun meninggal dunia dalam bilik hotel

GEORGE TOWN, 6 APRIL: Wanita berusia 27 tahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik sebuah hotel di Tanjung Tokong, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintenden Lee Swee Sake berkata pihaknya menerima laporan daripada sebuah hospital yang memaklumkan mengenai kematian wanita berasal dari Langkawi, Kedah itu pada 12.30 tengah hari.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama pasangannya datang ke Pulau Pinang untuk bercuti sejak 3 April lalu dan menginap di hotel berkenaan.

“Kira-kira 9.30 pagi semalam, wanita itu dijumpai pasangannya tidak sedarkan diri semasa berehat di atas katil bilik hotel sebelum mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada 11.46 pagi ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lee berkata hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa serta siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematiannya.

Beliau berkata bedah siasat telah dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik hari ini, namun punca kematian masih belum dapat dipastikan dan bergantung kepada siasatan lanjut hasil keputusan analisis makmal.

Sehubungan dengan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) telah dibuka untuk siasatan lanjut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.