Polis gempur parti dadah, aktiviti tidak bermoral, 51 lelaki ditahan

25 Mei 2026, 11:50 AM
Polis gempur parti dadah, aktiviti tidak bermoral, 51 lelaki ditahan

SHAH ALAM, 25 MEI: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan kegiatan penyalahgunaan dadah dan aktiviti tidak bermoral menerusi empat serbuan di sebuah hotel mewah di ibu negara semalam.

Operasi bermula antara jam 2.35 pagi hingga 5 pagi itu dijalankan hasil risikan berkaitan penganjuran parti dadah dan aktiviti tidak bermoral membabitkan lelaki tempatan serta warga asing.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bersama JSJN Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Menurutnya, 51 lelaki berusia antara 21 hingga 52 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 23 adalah lelaki tempatan manakala 28 lagi warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya cecair MDMA seberat 1.15 kilogram, serbuk MDMA seberat 284 gram, pil ekstasi, serbuk ekstasi dan ketamin.

Katanya, keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM103,070.

Menurut Hussein, sebelum serbuan polis mengesan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam parti berkenaan diusung keluar dari lobi hotel dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” katanya.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menjadikan bilik hotel mewah sebagai lokasi berhibur dan menyalahgunakan dadah selain terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati 36 individu positif dadah manakala 15 lagi negatif,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) akta sama dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Semua suspek direman antara tiga hingga enam hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Hussein berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.