SHAH ALAM, 6 APRIL: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) memeterai Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dalam usaha memperkukuh pembangunan industri berteknologi tinggi di negeri ini.
PNSB menerusi kenyataan memaklumkan, kerjasama itu sekali gus memperkukuh penyelarasan strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memacu agenda teknologi dan inovasi negara.
"Kerjasama ini turut menyerlahkan peranan MOSTI sebagai peneraju pembangunan teknologi negara melalui pengukuhan ekosistem inovasi, pemindahan teknologi serta pengkomersialan hasil penyelidikan ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan," katanya menurut kenyataan.
Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, MoC yang dimeterai membuka ruang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam pelbagai aspek pembangunan industri.
"Selepas MoC yang dimeterai hari ini, PNSB dan MIGHT adalah rakan strategik yang mampu menyumbang kepakaran dalam aspek teknikal dan bukan teknikal, termasuk perkongsian ilmu, amalan terbaik serta perancangan pembangunan industri masa hadapan.
"Kerjasama ini akan mempercepat pembangunan ekosistem industri bernilai tinggi di Selangor, seterusnya menarik pelaburan berkualiti serta memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab industri berteknologi tinggi," katanya menerusi kenyataan sama.
Menurut PNSB lagi, MoC tersebut memberi tumpuan kepada sektor strategik seperti aeroangkasa, maritim dan sains hayat, selain merangkumi bidang Industri 4.0, ekonomi digital, teknologi hijau, bandar lestari, inisiatif halal dan keterjaminan keselamatan makanan.
"Kerjasama ini dijangka menyumbang kepada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, pengukuhan rantaian bekalan tempatan serta meningkatkan daya saing Selangor di peringkat global," katanya.
PNSB turut memaklumkan, pihaknya komited memastikan kolaborasi tersebut diterjemahkan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, majlis pemeteraian kerjasama berlangsung di Cyberjaya itu disaksikan EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han serta Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ts Dr Nagulendran Kangayatkarasu.









