SHAH ALAM, 11 JUN: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menerusi anak syarikatnya PNSB Construction Sdn Bhd (PCSB) memeterai perjanjian konsortium bersama NPO Builders Sdn Bhd (NPO) bagi membangunkan 1,202 unit Rumah Idaman di U6, Bandar Bukit Raja.
Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata projek berkenaan menawarkan dua pilihan kediaman mampu milik pada harga RM250,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi, serta RM295,000 seunit bagi unit berkeluasan 1,080 kaki persegi.

“Setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air selain kemudahan seperti penghawa dingin di setiap bilik, pemanas air, kabinet televisyen, almari pakaian serta kabinet dapur separa siap,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, beliau mewakili PCSB menyempurnakan majlis menandatangani perjanjian konsortium bersama NPO yang diwakili Pengarah Titijaya Land Berhad, Datuk Lim Poh Yit di Menara TTDI, tengah hari tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Raja Ahmad berkata PNSB telah menyiapkan lebih 7,400 unit Rumah Idaman di seluruh Selangor, kecuali di daerah Hulu Langat.
“Ketika ini lebih 10,000 unit sedang dibina, manakala lebih 25,000 unit lagi berada di peringkat kelulusan kebenaran merancang (KM),” katanya.
Beliau berkata antara projek yang telah siap termasuk 1,260 unit di Bukit Jelutong serta kira-kira 4,000 unit di Kwasa Damansara. Selain itu, projek di Sabak Bernam, Cyberjaya dan Kajang turut merekodkan pembinaan ratusan hingga ribuan unit yang telah siap dibangunkan.
Sementara itu, Lim berkata pembangunan Rumah Idaman Bandar Bukit Raja dijadual bermula pada 2027, dengan fasa pertama siap pada 2030 melibatkan keseluruhan 1,202 unit kediaman.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 240 unit berkeluasan 1,000 kaki persegi manakala 962 unit lagi berkeluasan 1,080 kaki persegi,” katanya.
Beliau berkata pemilihan Bandar Bukit Raja dibuat berdasarkan lokasi strategik kawasan itu yang mempunyai akses terus ke Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) serta berhampiran kawasan penempatan dan pusat perkhidmatan penjawat awam di Shah Alam.








