KUALA LANGAT, 5 SEPT: Kerajaan Negeri menerusi Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) melancarkan projek rejuvenasi dan pembangunan semula Morib dengan nilai pembangunan kasar (GDV) awal RM850 juta.
Dato’ Menteri Besar berkata projek menerusi kerjasama strategik dengan Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) dan Seriemas Development Sdn Bhd akan bermula tahun ini, dengan pembangunan Sri Morib Golf and Country Club sebagai fasa pertama.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Sri Morib Golf and Country Club membabitkan kawasan seluas 142 ekar yang akan dinaik taraf kepada padang golf 18 lubang, par 72, dengan kerja pemulihan dijangka mengambil masa dua tahun.

“Insya-Allah dengan rakan kongsi kita, ia bukan sekadar memberi nilai tambah kepada aliran tunai PNSB tetapi juga mampu memberikan nafas baharu di Morib.
“Kebetulan juga projek pengukuhan tebing pantai di bawah PETRA telah siap dan tunggu masa untuk dilancarkan dan dibuka kepada awam. Ini memberikan nilai tambah kepada Morib secara keseluruhannya,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Amirudin menyempurnakan Majlis Peluncuran Rejuvenasi dan Pembangunan Semula Padang Golf Sri Morib dan Bandar Peranginan Morib di Pantai Morib, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Amri Ismail.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya berkata projek rejuvenasi Morib merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) yang merangkumi pembangunan di kawasan Kuala Langat dan Sepang.
Beliau menyifatkan Pantai Morib sebagai antara aset strategik Selangor yang mempunyai nilai sejarah tinggi, selain berpotensi memberikan manfaat sosioekonomi yang besar kepada negeri.
“Pantai Morib bukan sekadar pesisiran biasa. Ia adalah aset strategik yang telah dibangunkan sekian lama dan begitu kaya dengan warisan sejarah, tradisi sukan dan rekreasi serta menyimpan sosiekonomi yang amat besar.
“Kalau kita rujuk IDRISS, Pantai Morib ini kawasan yang boleh dianggap sebahagian daripada potensi pembangunan IDRISS,” katanya.

Selain pembangunan Sri Morib Golf and Country Club, projek rejuvenasi Morib turut merangkumi pembangunan bercampur dengan komponen kediaman dan komersial di kawasan seluas kira-kira 150 ekar.
Projek di bawah pelan induk pembangunan selama 10 tahun itu dijangka mengubah imej Morib daripada sekadar destinasi persinggahan hujung minggu kepada destinasi pelancongan pantai dan rekreasi yang lebih bersepadu.










