SHAH ALAM, 6 APRIL: Kerajaan Selangor menghentikan urusan perjalanan rasmi ke luar negara bagi semua jabatan sebagai langkah penjimatan susulan krisis tenaga global.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengecualian hanya diberikan bagi urusan menggalakkan pelaburan dan pelancongan dari luar negara ke Selangor.
Menurutnya, keputusan itu juga bertujuan memastikan ekonomi tempatan, industri sokongan serta peluang pekerjaan bagi rakyat Selangor dapat terus berlangsung.
“Di peringkat Kerajaan Negeri, setiap jabatan perlu mengkoordinasi usaha serta program dan bekerja dalam mod krisis.
“Perang ini akan meninggalkan kesan jangka masa panjang kepada ekonomi negara dan Selangor dan setiap warga Selangor perlu berganding bahu supaya kita bersedia mengharungi cabaran yang akan dihadapi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Bulan lalu, Perdana Menteri menyeru semua menteri, anggota pentadbiran kerajaan serta jabatan menghadkan lawatan atau pun kunjungan ke luar negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata langkah waspada dan penjimatan yang dilaksana kerajaan itu susulan ketegangan yang terus memuncak di Asia Barat dengan kesannya mula dirasai ke atas ekonomi negara.








