KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Lebih 70 peratus depoh pengadun di Malaysia bersedia untuk melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada, susulan pengumuman kerajaan untuk meningkatkan adunan biodiesel kepada B15 secara berperingkat.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan telah mengadakan mesyuarat dan lawatan bagi mengenal pasti kesediaan kemudahan itu untuk melaksanakan adunan biodiesel B15.
“Hasil dapatan pemeriksaan infrastruktur depoh pengadun oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mendapati lebih 70 peratus depoh pengadun di Malaysia bersedia untuk melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada.
“Langkah penyesuaian operasi sedang dirangka oleh depoh pengadun bagi memastikan kecekapan dan keterjaminan bekalan produk petroleum kepada pengguna,” katanya pada taklimat harian berkaitan krisis bekalan global.
Akmal Nasrullah berkata beliau dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah melawat Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT) dan melihat sendiri kesediaan loji pemprosesan biodiesel di Pulau Indah, Klang.
“Lawatan ini memberi mesej penting bahawa isu tenaga tidak lagi boleh dilihat hanya dari sudut bekalan semasa.
“Ia perlu ditangani dalam satu kerangka nasional yang menghubungkan keselamatan tenaga, kekuatan sektor komoditi, kecekapan logistik, ketahanan rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi negara,” jelas beliau lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa lawatan tersebut penting kerana ia membolehkan kerajaan melihat sendiri keseluruhan ekosistem biodiesel negara secara menyeluruh, termasuk pengeluaran bahan asas, keupayaan pengadunan, kelancaran operasi fasiliti dan ketahanan rantaian bekalan.
Susulan keputusan tersebut, Kementerian Ekonomi dan KPK sedang menyusun tindakan bersama semua pihak yang terlibat untuk merealisasikan agenda biodiesel tersebut.
Pada 14 April, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 bagi mengekalkan bekalan diesel negara susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.
Langkah itu bertujuan mengelakkan kebergantungan melampau kepada bahan api fosil import dan pasaran luar serta melaksanakan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan yang dipercepatkan kepada tenaga boleh baharu.








