Bekas Gabenor Bank Negara ketuai pasukan krisis tenaga Selangor

6 Apr 2026, 9:14 AM
Bekas Gabenor Bank Negara ketuai pasukan krisis tenaga Selangor

SHAH ALAM, 6 APR: Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor, umum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, pasukan itu turut dianggotai Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Tan Sri Dr Noor Azlan dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Dato’ Mohamed Rafique Merican.

“Pasukan Khas ini akan mencadangkan langkah segera untuk mengurangkan kesan kepada rakyat serta merangka tindakan sehingga tempoh setahun sekiranya perang ini berterusan.

“Kerajaan Negeri akan mengumumkan langkah yang perlu diambil sebagai respon kepada isu bekalan dan kesannya kepada harga barang.

“Fasa pertama usaha mitigasi bagi rakyat Selangor akan diperkenalkan dalam tempoh dua minggu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Amirudin memaklumkan, Kerajaan Negeri akan menyemak semula Belanjawan Selangor 2026 bagi memberi penekanan kepada kos sara hidup dan bantuan kepada rakyat terkesan.

“Kerajaan Negeri akan menyemak semula Belanjawan Selangor 2026 dengan memberikan fokus kepada kos sara hidup dan bantuan kepada rakyat yang terkesan, sokongan kepada industri, serta meneroka peluang seperti peralihan tenaga secara lebih pantas,” katanya.

Minggu lalu, Amirudin memaklumkan Selangor akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi memperkukuh kesiapsiagaan Selangor dalam menghadapi ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat.

Amirudin dilapor berkata, langkah tersebut menjadi permulaan kepada rangka tindakan menyeluruh di peringkat negeri bagi menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam menangani kesan krisis berkenaan.

Keadaan di Asia Barat semakin meruncing sejak 28 Februari lalu apabila Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran, yang kemudian dibalas Tehran menerusi serangan terhadap kepentingan AS di negara-negara teluk.

Susulan itu, Iran mengambil langkah drastik menutup dan menyekat Selat Hormuz, yang merupakan laluan penting bagi hampir satu perlima bekalan minyak dunia sebagai respon terhadap konflik tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.