SPRM, JKDM cadang tubuh pasukan khas pantau pelabuhan strategik

15 Jul 2026, 1:00 PM
SPRM, JKDM cadang tubuh pasukan khas pantau pelabuhan strategik

PUTRAJAYA, 15 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bercadang menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau aktiviti penguatkuasaan serta kutipan cukai di pelabuhan strategik negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata cadangan itu dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah JKDM Datuk Amran Ahmad di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua agensi turut bertukar pandangan mengenai cabaran dalam pelaksanaan tugas, khususnya berkaitan urusan pemeriksaan kastam, selain membincangkan kerenah birokrasi dan pelbagai isu domestik yang dihadapi JKDM.

“Pertemuan strategik selama satu jam itu turut menjadi platform perkongsian dua hala mengenai peranan dan fungsi JKDM, selain membincangkan mekanisme bagi membanteras ketirisan dalam pengurusan kontena yang berada di bawah bidang kuasa jabatan itu di pelabuhan seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Amran berkata JKDM turut berkongsi maklumat mengenai taktik sindiket yang mengelak pembayaran cukai, termasuk kegiatan penyeludupan serta pemalsuan maklumat atau dokumen bagi mendapatkan kelulusan di bawah kategori yang berbeza.

Beliau berkata JKDM juga mengesan modus operandi pengisytiharan palsu wang tunai apabila jumlah yang dibawa masuk ke negara ini diisytiharkan jauh lebih rendah berbanding jumlah sebenar.

“JKDM turut mengalu-alukan penglibatan SPRM dalam memperkukuh budaya integriti menerusi penganjuran ceramah antirasuah kepada warga jabatan,” katanya.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar dan Ketua Cawangan Integriti JKDM Azian Umar.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.