SHAH ALAM, 6 APRIL: Dato’ Menteri Besar berkongsi mengenai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza serta penyertaan dalam delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 menerusi temu bual di dua stesen radio tempatan, hari ini.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata, misi berkenaan mempunyai cabaran tersendiri dan memerlukan perancangan rapi bagi memastikan usaha kemanusiaan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk memperincikan objektif misi ini, termasuk cabaran yang bakal ditempuh dalam memastikan usaha kemanusiaan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya menerusi Facebook.
Sesi temu bual berkenaan dianjurkan Media Prima Audio dengan menampilkan barisan penyampai radio termasuk Khairy Jamaluddin, Johan, Fara Fauzana dan AG Azmeer dari Hot FM sementara Haiza dan Muaz dari Kool FM.
Dalam masa sama, Amirudin turut memohon doa dan sokongan rakyat Malaysia agar misi tersebut dipermudahkan serta mencapai matlamat.
“Saya memohon doa dan sokongan seluruh rakyat Malaysia agar misi ini dipermudahkan segala urusan serta mencapai matlamatnya. Semoga bumi Palestin kembali berdaulat dan aman, insya-Allah,” katanya.
Pada 3 April lalu, Pejabat Dato' Menteri Besar memaklumkan Amirudin akan mewakili Malaysia untuk mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 sebagai usaha menyalurkan bantuan dan solidariti kepada rakyat Palestin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan Amirudin mewakili Malaysia mengetuai misi Global Sumud Flotilla 2.0 ke Mesir bagi membantu melancarkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurut Anwar, keputusan itu dibuat susulan keperluan rundingan yang melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan Mesir dan Qatar selain berkait dengan penghantaran kontena bantuan berskala besar.
Sekretariat Global Sumud Flotilla semalam mengumumkan misi akan berlepas sekali lagi ke Gaza pada 12 April ini dalam misi terbaharu cuba memecahkan kepungan haram Israel ke atas wilayah Palestin.
Misi kemanusiaan itu, yang disifatkan terbesar pernah digerakkan oleh masyarakat sivil, dijadual berlepas dari Barcelona melibatkan 80 kapal serta lebih 1,000 aktivis.







