AirAsia X kurangkan kapasiti, tambang dijangka naik

6 Apr 2026, 7:54 AM
AirAsia X kurangkan kapasiti, tambang dijangka naik

KUALA LUMPUR, 6 APR: AirAsia X sedang melaraskan kapasiti serta tambang di samping mengawal kos untuk mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api, kata Pengasas Bersama dan Penasihat Tan Sri Tony Fernandes.

Fernandes, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A, berkata pihaknya akan mengurangkan kapasiti dan menyemak naik harga tambang bertujuan menampung kesan kos bahan api yang lebih tinggi susulan konflik Asia Barat.

Langkah itu perlu dilaksanakan bagi memastikan operasi dapat diteruskan dalam keadaan ketidaktentuan yang berterusan, katanya pada taklimat media AirAsia X di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya memanfaatkan pengalaman krisis sebelum ini termasuk ketika pandemik Covid-19 untuk mengharungi cabaran semasa.

Bagaimanapun permintaan terhadap perjalanan udara kekal kukuh walaupun kos meningkat, katanya.

Fernandes berkata AirAsia sedang mempercepat penambahbaikan operasi dan penyepaduan ekosistem bagi mengurangkan tekanan.

Usaha itu termasuk mengukuhkan segmen kargo, meningkatkan kesalinghubungan rangkaian serta memanfaatkan platform digital seperti MOVE dan AirAsia NEXT untuk merangsang permintaan, di samping menambah baik kecekapan penyelenggaraan dan ketepatan masa penerbangan, katanya.

Beliau berkata perniagaan kargo AirAsia terus merekodkan permintaan kukuh, disokong cabang logistik, Teleport.

“Ada permintaan yang tinggi terhadap perniagaan kargo kami dan kami sedang berusaha memastikan kapasiti mencukupi untuk memenuhi permintaan tersebut,” katanya.

Sementara itu, CEO Kumpulan AirAsia X, Bo Lingam berkata syarikat penerbangan itu akan terus menyemak tambang berdasarkan situasi semasa dan harga bahan api.

Sebarang kenaikan akan dilaksanakan dengan teliti bagi menyeimbangkan kemampuan pengguna dan pemulihan kos, katanya.

Beliau berkata setakat ini, AirAsia X telah mengurangkan kira-kira 10 peratus penerbangan, yang sebahagian besarnya mencerminkan corak permintaan bermusim selepas tempoh puncak Aidilfitri.

Rangkaian domestik dan ASEAN bagi keseluruhan AirAsia membolehkan syarikat itu mengagihkan kapasiti dengan cekap di samping mengekalkan harga yang kompetitif di pelbagai pasaran, katanya.

Pihaknya juga sedang memperkukuh jaringan kesambungan dengan bandar seperti Istanbul yang berfungsi sebagai hab transit utama yang menghubungkan Eropah dan Asia, manakala permintaan juga didapati semakin meningkat daripada pasaran termasuk Asia Tengah.

Di samping itu, Bo mengesahkan semula komitmen untuk melancarkan penerbangan ke Bahrain pada Jun, tertakluk kepada perkembangan geopolitik.

“Permintaan bagi laluan Bahrain adalah kukuh, dan perancangan bagi laluan tersebut kekal seperti dirancang,” katanya.

Beliau berkata laluan lain, termasuk Busan, diteruskan mengikut jadual.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.