Iran dakwa empat pesawat AS musnah dalam misi menyelamat juruterbang

5 Apr 2026, 2:16 PM
Iran dakwa empat pesawat AS musnah dalam misi menyelamat juruterbang

TEHRAN, 5 APRIL: Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya, iaitu markas bersepadu angkatan tentera Iran pada Ahad memaklumkan empat pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) ditembak jatuh di ruang udara tengah Iran semasa misi AS untuk menyelamatkan seorang juruterbang di negara itu, lapor Xinhua.

Jurucakap markas berkenaan Ebrahim Zolfaghari berkata pesawat itu termasuk dua pesawat pengangkut tentera C-130 Hercules dan dua helikopter Black Hawk, menurut agensi berita rasmi IRNA.

Beliau menambah bahawa pesawat berkenaan disasarkan dalam operasi bersama oleh pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), tentera darat, pasukan sukarelawan Basij dan penguat kuasa undang-undang di selatan wilayah tengah Isfahan.

Zolfaghari berkata operasi menyelamat yang didakwa AS itu, “yang dirancang sebagai operasi helah dan melarikan diri dengan dalih menyelamatkan juruterbang pesawatnya yang ditembak jatuh di sebuah lapangan terbang terbiar di selatan Isfahan”, berakhir dengan kegagalan sepenuhnya susulan kehadiran tepat pada masanya angkatan tentera Iran.

Beliau berkata Presiden AS Donald Trump “cuba mempertahankan kekalahan pahit dan kegagalan tenteranya dengan menimbulkan kekeliruan terhadap pendapat awam”.

IRGC pada Jumaat memaklumkan sistem pertahanan udaranya telah menembak jatuh sebuah jet pejuang F-35 milik AS di ruang udara tengah Iran, sambil menambah bahawa nasib juruterbang pesawat itu tidak diketahui.

AS kemudian mendakwa ia telah menyelamatkan seorang daripada juruterbang jet pejuang yang ditembak jatuh itu, sambil menambah operasi menyelamat sedang dijalankan untuk mencari dan membawa pulang seorang lagi juruterbang.

Pada Ahad, Trump dalam hantaran di platform media sosial Truth Social mendakwa bahawa tentera AS telah melaksanakan “antara operasi mencari dan menyelamat paling berani dalam sejarah AS”, sambil menambah bahawa juruterbang kedua telah diselamatkan dan berada dalam keadaan selamat.

Pada 28 Feb, Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Tehran dan beberapa bandar lain di Iran, yang mengorbankan Pemimpin Agung Iran ketika itu Ali Khamenei, bersama komander kanan tentera dan orang awam. Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta pangkalan dan aset AS di Asia Barat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.