Wanita OKU ditemukan rentung terperangkap dalam rumah terbakar

4 Apr 2026, 4:01 AM
Wanita OKU ditemukan rentung terperangkap dalam rumah terbakar

SEREMBAN, 4 APR: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Mantin Baharu di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian membabitkan mangsa berusia 32 tahun itu pada 11.33 malam.

“Kebakaran melibatkan rumah teres berkeluasan 20x65 kaki persegi yang musnah sepenuhnya. Mangsa ditemukan rentung dalam bilik utama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata operasi pemadaman yang membabitkan 14 pegawai dan anggota ditamatkan pada 11.50 malam selepas kebakaran berjaya dikawal.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai J Arul Kumar berkata ketika kejadian mangsa yang menghidap strok dan lumpuh separuh badan itu dipercayai sedang tidur manakala adik lelakinya tidak berada di rumah.

“Mangsa hanya tinggal berdua bersama adiknya di rumah tersebut dan ketika kejadian adiknya keluar untuk membeli makanan sebelum dimaklumkan rumahnya terbakar.

"Menurut jiran, dia terdengar suara wanita meminta tolong tetapi orang ramai tidak tidak dapat masuk untuk menyelamatkannya kerana api sedang marak dan pintu rumah pula tertutup,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.